Mia takkan rela bermadu

Hiburan

Pelakon Mia Ahmad berkata dia akan tetap mempertahankan rumah tangga yang dibinanya walaupun hubungan mereka itu pernah dibayangi orang ketiga.

Kata Mia, dia tidak rela berkongsi kasih dengan orang lain dan ‘tugas’ sebagai madu itu tidak akan dipikulnya sampai bila-bila.

“Sudah tentu saya tak rela nak berkongsi kasih dengan wanita lain di luar sana,” katanya.

Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi ditemui pada sidang media pelancaran drama Nur 2 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, rumah tangga pelakon drama Hati Perempuan itu dengan penjaga gawang Johor Darul Takzim, Mohd Izham Tarmizi, dihidu media bergolak pada Nov tahun lalu.

Ia berlaku selepas Mia, 31, meluahkan perasaannya di media sosial.

Menerusi artikel disiarkan sebuah portal pula, Mohd Izham menafikan dakwaan dia bermain kayu tiga dengan wanita lain.

Semua hanya pinjaman

Kejadian itu berlaku ketika Mia masih berpantang selepas melahirkan anak mereka.

Kata Mia, dia menghormati hak wanita lain jika ada yang bersedia untuk bermadu.

Namun wanita yang sebegitu, katanya, bukanlah dia.

“Sebab bukan mudah nak pertahankan rumah tangga yang dibina bersama suami,” katanya.

Namun sebagai manusia biasa, kata Mia, dia tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Pada masa sama katanya kemelut rumah tangga yang dihadapi banyak memberi pengajaran. Antaranya, mengajar dia untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhan.

“Kembali kepada asas. Semua ni hanya pinjaman.

“Jika kita terlalu letak kepercayaan kepada satu hubungan dengan manusia. Kita mungkin boleh terluka dalam sekelip mata. Kembalilah kepada Maha Pencipta,” katanya yang dalam fasa membaik pulih hubungannya dengan suami.

Mia dan Mohd Izham berkahwin pada 13 Januari 2017. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan anak lelaki Sayf Issa, yang kini berusia enam bulan.

Anak kelahiran Perak itu juga berkata Sayf merupakan pengerat semula kasihnya dengan Mohd Izham selepas mahligai mereka hampir musnah.

Sumber : mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *