Najib Sekolahkan Kerajaan

Hiburan

Semalam PM ke-7 kata gaji dan pencen penjawat awam adalah bebanan besar kepada negara.

Lalu dia salahkan saya menaikkan gaji penjawat awam dengan signifikan sehingga menyebabkan “beban” ini.

Saya nak beri beberapa fakta yang tidak boleh disangkal oleh PH tentang isu ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa gaji penjawat awam masa PM ke-4 adalah jauh lebih rendah berbanding sektor swasta.

Masa PM ke-4 itu juga, jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin serta antara bandar dengan luar bandar adalah jauh lebih besar berbanding hari ini.

Seperti apa yang Daim Zainuddin kata bulan lepas apabila dia pertikaikan laporan PBB tentang kadar kemiskinan negara, rakyat sekarang lebih selesa berbanding dahulu.

“Dahulu, kita naik basikal, sekarang penuh dengan kereta,” katanya.

Mereka yang pernah melalui era 80an dan 90an tentu boleh membuat pembandingan – terutama untuk keadaan di kampung dan untuk mereka yang menjawat di kerajaan masa itu.

Oleh itu, kerajan BN masa saya PM naikkan gaji dan pencen penjawat awam. Kalau masih tak setara dengan sektor swasta pun, janganlah jauh berbeza sangat.

PM ke-7 kata nak Malaysia menjadi negara maju tapi negara maju yang manakah gaji penjawat awam mereka begitu rendah?

Saya ingin memberitahu PH bahawa pada tempoh saya menjadi PM, defisit kerajaan (iaitu beza antara perbelanjaan dengan pendapatan) turun setiap tahun untuk 8 tahun berturut-turut.

Tetapi defisit meningkat semula dengan ketara di bawah PH.

Nisbah hutang negara kepada KDNK juga menurun sehingga menjadi 48.7% pada akhir suku pertama tahun 2018 – iaitu sebelum PRU14.

Namun, nisbah ini melonjak naik setiap suku tahun selepas PRU14 dan dijangka cecah 53% pada akhir tahun.

Jika beban sangat, kenapa pula kerajaan BN dahulu dapat mengurangkan defisit kerajaan dan nisbah hutang setiap tahun tetapi naik semula di bawah PH?

Semalam, PM ke-7 kata bayaran pencen sudah meningkat menjadi RM28 bilion setahun dan ini menjadi beban besar buat kerajaan.

Tapi saya tengok kerajaan PH sanggup memberi tempoh 3 bulan bebas cukai tahun lepas di mana puluhan bilion hasil cukai kerajaan telah hilang.

Yang mendapat manfaat terbesar masa itu adalah orang kaya.

Mereka yang membeli Ferrari bernilai RM1 juta boleh jimat RM60,000 cukai GST.

Syarikat yang membeli pejabat komersial bernilai RM5 juta dapat berjimat RM300,000 untuk GST.

Kerajaan PH juga sanggup menggantikan cukai GST dengan SST dan menhilangkan hasil lebih dari RM22 bilion setiap tahun.

Sanggup memberi cukai bebas cukai di mana orang kaya yang mendapat manfaat terbesar.

Tetapi kini PH mengadu pula bahawa bayaran pencen meningkat sedikit menjadi RM28 bilion.

Tahun pertama GST dilaksanakan, hasil kerajaan adalah RM27 bilion. Tahun kedua meningkat menjadi RM32.7 bilion.

Tahun 2017 pula naik ke RM44 bilion dan dijangka naik lagi pada tahun 2018 sebelum ianya dimansuhkan.

Perlu ingat bahawa kadar GST tetap pada 6% dan tidak pernah dinaikkan.

Senarai barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST juga tidak bertambah.

Tetapi kenapa hasil GST naik setiap tahun pula?

Kerana saiz ekonomi berkembang setiap tahun. Dengan itu, kutipan GST turut meningkat.

Tetapi sistem ini telah dimansuhkan oleh kerajaan PH.Hasil cukai dari ekonomi gelap yang sepatutnya mengalir ke kerajaan dan seterusnya diagihkan kepada penjawat awam dan Rakyat pula terlepas.

Yang untung adalah peniaga serta eknomi gelap yang tidak bayar cukai.

Kini PH sudah menjadi kerajaan. Kalau tak cukup wang, carilah wang. Tetapi apa yang mereka buat?

Mereka mansuhkan GST dan membenarkan ekonomi gelap bermaharajalela.

Mereka menjualkan aset-aset negara yang memberi keuntungan dan pendapatan setiap tahun.

Sekarang PH ada hati pula nak mengadu serta menyalahkan pihak lain bahawa gaji dan pencen penjawat awam membebankan sehingga mereka perlu mengorbankan penjawat awam dengan Rakyat.

-Najib Razak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *