Semoga Pengalaman bercinta dan berkahwin dgn lelaki Bangladesh ini Memberi Pengajaran buat Wanita

Nasional

Pertemuan dengan seorang lelaki warga Bangladesh ketika menjalankan perniagaan di kantin kilang pembuat barangan plastik di Nilai, Negeri Sembilan menjadi permulaan detik hitam dalam hidup Mariam (bukan nama sebenar).

Malah, wanita berusia 54 tahun itu tidak sangka bahagia yang diharapkannya bertukar menjadi penderitaan hampir satu dekad sepanjang melayari hidup bersama jejaka warga asing yang muda 20 tahun daripada dirinya itu.

Mengenang kisah silam, dia tidak mungkin menerima pinangan lelaki berkenaan malah sanggup hidup menjanda daripada terseksa dek perangai suami yang tidak bertanggungjawab dan kejam pada dirinya.

Ketika saat pertemuan, Mariam mengusahakan sebuah kantin di kilang pengeluar barangan plastik. Suatu hari, tidak semena-mena datang seorang lelaki menyapa dan menyatakan ada seorang rakannya berminat dengan wanita itu dan mahu berkenalan.

Mariam kemudian meminta rakan lelaki itu untuk bertemunya kerana mahu melihat sendiri individu yang dianggap `sudah hilang akal’ itu memandangkan perbezaan umur yang ketara antaranya dengan majoriti pekerja yang ada di kilang berkenaan.

“Dia meminta saya menunggu di satu kawasan dalam perjalanan pulang dari kilang kerana dia dan rakan yang dikatakan berminat dengan saya ada di situ.

“Ketika melalui jalan itu, saya hanya melihatnya berdiri seorang dan bertanya rakan yang dikatakan meminati saya itu. Katanya, rakannya itu tidak jadi datang.

“Saya tidak tahu rupa-rupanya dialah yang mahu berkenalan dengan saya tetapi agak takuttakut kerana dia tahu saya tidak sukakan lelaki dari negara berkenaan,” katanya.

Bukan saja tidak minat, malah Mariam pernah mengherdik lelaki itu kerana tidak mahu dirapati, apatah lagi ketika itu dia janda bersama enam anak dan sudah selesa hidup begitu untuk beberapa tahun lamanya.

Ketika bertemu, Mariam sudah menjangkau usia 44 tahun, manakala lelaki itu yang dikenali sebagai Farouk (bukan nama sebenar) baru menginjak usia 24 tahun.

“Mula-mula bertemu memang saya tidak melayan kerana tidak menyukainya. Namun saya pun tidak tahu mengapa dalam tempoh sebulan kenal, saya terus menerima lamarannya dan berkahwin di kampung halamannya.

“Saya pernah bertanya, adakah dia buta kerana sukakan saya kerana saya sudah tua dan bukannya cantik, namun dia kata tidak kisah semua itu kerana dia suka pada saya.

“Lagipun katanya, tiada perempuan muda yang akan menerimanya kerana dia tidak berduit, tidak ada rumah atau kereta,” katanya.

Wanita itu mengakui sikap Farouk yang pada mulanya pandai mengambil hati dan penyayang, membuatkan dia `cair’. Ditambah pula dengan sikap ibu, adik-beradik dan anak-anaknya yang semuanya mahukan dia berteman.

Ketika mahu mengambil hatinya, Farouk mempunyai perwatakan lemah lembut, penyayang dan hormat pada dirinya.

Malah dia tidak lokek mengeluarkan wang sendiri bagi membelikan hadiah untuk Mariam seperti pakaian dan barangan kemas.

Kesungguhan Farouk yang sanggup datang sendiri bertemu ibu Mariam untuk meminang dan menyatakan niat menjadikan anaknya sebagai suri hati membuka hatinya untuk memberi peluang kepada lelaki terbabit.

“Kami kemudian berlepas ke Bangladesh untuk bertemu ibu bapa Farouk dan semuanya berjalan lancar. Kami akhirnya melangsungkan perkahwinan di negara itu sebelum pulang semula ke Malaysia.

“Di Negeri Sembilan, Farouk tinggal di rumah saya dan bermula detik itu saya yang menanggung, memberi belanja dan memperbaharui visanya setiap kali hampir tamat tempoh,” katanya.

Selepas sekian waktu, Farouk mula menunjukkan belangnya termasuk sering mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat pada Mariam jika ada perkara yang tidak memuaskan hatinya.

Dia juga sering menghilangkan diri dan hanya pulang selepas beberapa hari. Sekiranya ditanya ke mana, pasti cacian dan makian keluar dari mulutnya termasuk menghina Mariam sebagai perempuan yang sudah tua dan tidak menarik.

Bagaimanapun, setia kali visanya hampir tamat tempoh, Farouk berubah dan melayan Mariam dengan lebih baik kerana wanita itu yang bertanggungjawab memperbaharuinya.

Selepas itu, lelaki itu melayan Mariam sesuka hati semula dan kitaran itu berterusan selama sembilan tahun tanpa diketahui sesiapa biarpun keluarga terdekat wanita malang berkenaan.

“Dia pernah mengugut untuk memukul saya, tetapi saya melawan dan mengatakan akan memanggil adik lelaki saya yang tinggal berhampiran untuk bertumbuk dengannya, lalu dia tidak jadi pukul.

“Saya juga pelik kerana saya semakin mengikut saja kata-katanya dan tidak melawan. Lebih pelik, biarpun marah saya meluap-luap di dalam hati, saya tidak dapat melakukan apa-apa sebaliknya hanya berdiam diri.

“Ada ketikanya saya mahu meninggalkannya, tapi perasaan marah saya bertukar menjadi sangat gundah-gulana dan saya sering berasa kasihan pada dirinya setiap kali dia berada di hadapan saya,” katanya.

Menurut wanita itu, dia juga pernah terjumpa botol kecil yang mengandungi cecair pekat berwarna gelap di dalam poket seluar suaminya ketika hendak mencuci pakaian di rumah lantas dia membuangnya.

Selepas diperhatikan, suaminya seolah-olah tercari barang sebaik pulang ke rumah dari tempat kerja namun bila ditanya, dia tidak mahu menyatakan apa-apa dan hanya memaklumkan mencari barang yang hilang. Perkara itu ternyata menimbulkan syak di hati Mariam.

Katanya, selepas berbincang dengan seorang rakan baiknya, dia kemudiannya bertemu seorang ustaz untuk mendapatkan rawatan secara Islam dan terkejut apabila ketika dirawat, ustaz berkenaan mengatakan dia terkena sihir yang dibuat oleh suaminya sendiri.

Tidak cukup dengan itu, ketika dirawat Mariam turut memuntahkan pelbagai objek menjijikkan termasuk bulu roma dan kuku suaminya.

“Selepas mendapatkan rawatan, saya rasa segar sikit, tidak terlalu gundah-gulana dan rasa berani untuk melawannya namun ia tidak lama selepas saya berubah sekali lagi menjadi takut dan terlalu mengikut kata-katanya.

“Saya sekali lagi mendapatkan rawatan daripada ustaz berkenaan dan bermula dari situ, saya bertekad untuk tidak berlembut atau menerima Farouk lagi dalam hidup saya.

“Satu hari dia pulang ke rumah selepas beberapa hari keluar dan kami bergaduh besar.

Saya menghalaunya keluar dan sejak itu dia tidak pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun kata Mariam, lelaki berkenaan rajin menghubunginya sejak akhir-akhir ini dan menyatakan hasrat untuk berbaik dan pulang ke rumah, tetapi dia mengesyaki ia kerana visanya yang hampir tamat tempoh pada hujung tahun ini.

Dia akui tidak akan membantu memperbaharui lagi visa berkenaan memandangkan kelakuan serta layanan buruk yang diterima daripada lelaki itu selama mereka berkahwin.

Lebih menyakitkan hati, baru-baru ini Mariam menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai kekasih Farouk dan memintanya menandatangani sekeping dokumen bagi membolehkan mereka berkahwin.

Namun selepas diselidiki, wanita berkenaan juga dijadikan sandaran hidup Farouk kerana terpaksa menanggungnya dari segi kewangan selain sering dipukul oleh lelaki berkenaan.

Mariam mahu kisahnya menjadi pengajaran kepada wanita lain supaya lebih berhati-hati ketika memilih pasangan dan tidak sesekali menerima lamaran warga asing yang dianggap bermasalah dan tidak sepadan dengan wanita tempatan.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih. Anda juga boleh Like Page Kami Juga Di Facebook @KumbangBluess untuk dapatkan lebih banyak cerita menarik.

Sumber : ezsihat.blogspot.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *