‘Sudah-sudahlah kami dibebankan…’

Politik

SHAH ALAM – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mendesak supaya Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum meletak jawatan dengan cara terhormat bagi memastikan integriti dan kehormatan institusi kehakiman negara terus terbela.

Presidennya, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin berkata, ini kerana pembabitan tokoh-tokoh penting dalam isu tarian yang menjadi tular itu telah memberi satu tanggapan dan kritikan negatif kepada sebuah institusi yang mempunyai peranan besar dalam urus tadbir negara.

“Sudahlah rakyat dibebankan dengan menteri yang silap titik perpuluhan, bergambar di dalam tab mandi tanpa berbaju, minta penoreh getah untuk menoreh ketika musim tengkujuh.

“Kita tidak mampu tanggung lagi beban sebegini dengan membiarkan jawatan penting negara diisi oleh individu-individu yang gagal membela kehormatan diri mereka sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya lagi, adalah tidak wajar bagi tokoh-tokoh yang memegang jawatan penting dalam urus tadbir negara terlibat dengan aktiviti sosial sedemikian, meskipun ia merupakan amalan biasa bagi sesetengah agama.

“Sehubungan itu, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ketua Hakim Negara yang bercanggah dengan Warta Kerajaan yang bertarikh 25 Jun 2009 iaitu Kod Etika Hakim 2009,” ujarnya.

Penularan video membabitkan tokoh-tokoh penting dalam institusi kehakiman dan perundangan negara sedang berdansa dalam satu majlis makan malam Opening of Legal Year (OLY) Sabah dan Sarawak baru-baru ini terus mendapat kecaman ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *