SYED SADDIQ: Saya mahu Malaysia menjadi pilihan nombor 1

Politik

KEBANJIRAN penonton dari luar negara pada konsert antarabangsa mampu menarik kemasukan pelancong luar selain membuka peluang perniagaan kepada para peniaga serta usahawan tempatan.

Menerusi ciapan di akaun Twitter, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik screenshot kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini yang menyatakan bahawa kerajaan ketika ini menumpukan kepada aspek industri pelancongan muzik.

“Konsert, persidangan dan pelbagai lagi yang tentunya membawa keuntungan. Sekiranya tidak dimanfaatkan, bagaimana kita nak raih dana berjumlah puluhan juta untuk penyelenggaraan aset-aset kita?

Beliau memberi contoh di mana persembahan Ed Sheeran di Stadium Bukit Jalil dipenuhi peminat, bukan setakat peminat dalam negara, malah dari Singapura dan Indonesia.

“Stadium dan peralatan disewa dan peniaga kecil juga dapat nikmatnya. Sama juga semasa Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin) membuat persembahan di Axiata Arena, penuh dan ramai yang dapat nikmatnya,” katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh konsert artis luar yang pernah diadakan di negara jiran yang sekali gus menaikkan nama negara itu di persada hiburan antarabangsa.

“Lihat sahaja di Singapura, apabila Coldplay dan BTS memilih Singapura sebagai destinasi pilihan, Stadium Nasional mereka penuh. Tiket habis terjual kurang dari empat jam.

“Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan jelas negara itu dapat manfaat pelbagai dalam pelancongan.

“Dunia melihat Singapura bukan Malaysia,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu melahirkan keyakinan Perbadanan Stadium Malaysia yang kini dikendalikan profesional bakal meraih keuntungan.

“Dahulu, kita rugi dalam RM20 juta setahun, waima kemudahan kita adalah antara yang terbaik di Asia.

“Kini, selepas rundingan beberapa kontrak berat sebelah dan setelah saya melantik lembaga pengarah yang baharu, kita akhirnya dalam landasan betul untuk mendapat laba,” kata Syed Saddiq lagi.

Menurutnya, langkah yang diambil adalah bagi meletakkan negara sebagai pilihan utama dalam penganjuran acara di peringkat antarabangsa.

“Kita mesti berani berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu Malaysia sekadar menjadi pilihan kedua atau ketiga.

“Saya mahu Malaysia menjadi pilihan nombor 1,” tambah Syed Saddiq.

Beliau turut memuat naik statistik yang memaparkan pencapaian ekonomi melalui acara hiburan yang menyumbang, antara lain, hasil kutipan cukai sehingga RM87 juta selain peluang pekerjaan sokongan.

Syed Saddiq berkata demikian sebagai menjawab kritikan beberapa artis tanah air yang membidas tindakannya menjemput kumpulan K-Pop terkenal BTS ke Kuala Lumpur tahun depan.

Ia respons terbaharu terhadap dua kritikan yang dilontarkan kepadanya sebelum ini oleh penyanyi rock terkenal tanah air Datuk Awie yang menganggap tindakan tersebut seperti seakan mahu membunuh karier artis tempatan yang kini bergelut untuk mencari rezeki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *